Home News & Events News & Events Listing IBFIM, FPAM rancang perluas program kewangan Islam

IBFIM, FPAM rancang perluas program kewangan Islam Print E-mail
November 25, 2008, Kuala Lumpur ~ INSTITUT Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dengan kerjasama Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM) merancang untuk memperluas program Perancang Kewangan Islam (IFP) di beberapa institusi pengajian tinggi luar negara.

IFP adalah latihan dan program pensijilan yang disediakan khas untuk golongan profesional dan eksekutif terutama yang berkhidmat dalam segmen runcit pasaran kewangan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Urusan IBFIM, Datuk Dr Adnan Alias, berkata pihaknya kini berunding dengan tiga institusi pengajian tinggi iaitu di Cardiff, United Kingdom, Riyadh, Arab Saudi, dan Busan, Korea Selatan bagi membolehkan IFP diperkenalkan di pusat pengajian itu.

Beliau berkata, program IFP yang diperkenalkan itu akan menjadi kursus profesional perancangan kewangan Islam pertama di dunia.
“Kursus itu mendapat pengiktirafan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Malah. ia juga akan diperkenalkan ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim); Universiti Malaya, selain Persatuan Akauntan Cukai Malaysia (Mata),” katanya pada sidang media selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara IFBIM, empat universiti dan dua persatuan profesional bagi IFP di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Presiden FPAM, Steve Teoh.

Katanya, pihaknya percaya IFP mempunyai potensi tinggi terutama dalam memperkasa sistem kewangan Islam.