Home News & Events News & Events Listing IBFIM, FPAM sasar perluas kursus kewangan Islam di luar negara

IBFIM, FPAM sasar perluas kursus kewangan Islam di luar negara Print E-mail

1 AHMAD Husni Hanadzlah (empat dari kiri) bersalaman dengan Dr. Adnan Alias sebagai tanda sepakat terhadap pengenalan kurus Perancang Kewangan Islamik (IFP) sambil disaksikan para perwakilan dari tiga universiti tempatan dan sebuah universiti antarabangsa di Kuala Lumpur, semalam.


November 24, 2008, Kuala Lumpur, oleh Azman Ibrahim~ Institut Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (IBFIM) serta Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM) menyasarkan untuk meluaskan kursus pengajian Perancang Kewangan Islamik (IFP) ke luar negara.

Langkah itu diambil berikutan kejayaan kedua-dua pihak itu menganjurkan kursus berkenaan pada April tahun lalu sehingga menarik perhatian pengurusan Al-Madinah International University (MEDIU), Arab Saudi.

Pengarah Urusan IBFIM, Datuk Dr. Adnan Alias berkata, pihaknya merancang mengadakan usaha sama dengan universiti-universiti sekitar Riyadh di Arab Saudi, Cardiff University di United Kingdom dan universiti-universiti di Busan, Korea Selatan.

Beliau berkata, pihaknya juga masih dalam perbincangan dan berada di peringkat akhir untuk memperkenalkan kursus enam modul selama setahun hingga dua tahun itu di luar negara.

Katanya, para pelajar perintis IFP di sini sudah menamatkan pengajian dan sudah boleh mempraktikkannya dalam amalan kewangan dan perbankan tempatan.

''Malaysia akan menjadi peneraju kepada kursus IFP berkenaan dan ia dijangka mendapat sambutan yang amat baik di peringkat antarabangsa,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan empat buah universiti bagi memperkenalkan kursus IFP di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Husni Hanadzlah dan Presiden FPAM, Steve L. H. Teoh.

Keempat-empat universiti yang memeterai MoU berkenaan ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Malaya (UM) dan Al-Madinah International University (MEDIU), Arab Saudi.

Setelah termeterainya perjanjian tersebut, kandungan kursus IFP akan diperkenalkan kepada para mahasiswa yang mengambil jurusan kewangan dan perbankan di universiti-universiti yang mengambil bahagian.

Seramai 57 peserta kursus IFP yang kebanyakannya terdiri daripada pengamal-pengamal perbankan dan insurans mendapat sijil masing-masing hari ini.

Mereka adalah pelajar perintis dan daripada jumlah itu, 22 daripadanya merupakan peserta bukan Islam.
IFP diiktiraf oleh dua badan utama iaitu Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia.
SC turut mengemukakan geran pembiayaan kepada IBFIM dan FPAM sebanyak RM1.15 juta pada tahun lalu.
Sementara itu, Husni berkata, kerajaan menyedari terdapat keperluan membina sebuah pusat kemahiran seperti IFP dan kewangan Islam profesional yang kukuh untuk menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara peneraju di dalam perbankan dan kewangan Islam.

Katanya, para peserta perintis program tersebut dijangka dapat menghadapi cabaran selain menjadi model terbaik kepada para mahasiswa peringkat tempatan dan antarabangsa kelak.

Menurutnya, melalui ilmu yang diperoleh, para peserta akan menyumbang nilai kepada pertubuhan dan agensi masing-masing selain memberi pulangan yang berguna kepada negara.